comscore
Tumpuan :
Luar Negara

[VIDEO] Tentera Israel bunuh dua lelaki bersenjata Palestin di Tebing Barat

 

 

PALESTIN: Pasukan keselamatan Israel semalam membunuh dua lelaki bersenjata Palestin di Tebing Barat yang diduduki susulan serbuan tentera.

Tentera Israel memperhebatkan kawalan keselamatan ke atas Jenin serta kawasan terpencil susulan beberapa serangan jalanan di bandar Israel tahun lalu.

Keganasan itu mengaburkan lagi prospek penyambungan semula rundingan damai yang disokong Amerika Syarikat (AS) yang terhenti pada 2014.

Orang ramai memeriksa kereta yang rosak di mana dua lelaki Palestin terbunuh semasa operasi Israel berhampiran Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel. – FOTO: REUTERS

Saksi berkata, tentera Israel bertempur dengan lelaki bersenjata sebelum subuh hingga mengakibatkan seorang mengalami kecederaan.

Katanya, dua lelaki bersenjata lain kemudian membawanya pergi dan meninggalkan mangsa yang cedera kepada penduduk dan meneruskan pemanduan, dikejar oleh tentera sehingga mereka ditembak.

Jurucakap tentera berkata, tentera melepaskan tembakan ke arah kereta itu dan tiada tenteranya terkorban.

Terdapat kesan darah di dalam kenderaan itu, yang merempuh dinding semasa kejadian.
Sementara itu, kumpulan militan Palestin Jihad Islam mendakwa dua lelaki yang maut itu sebagai anggotanya.

Salah seorang daripada mereka turut dituntut oleh Briged Syahid Al Aqsa, sebuah cabang bersenjata dari puak Fatah Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

Beratus-ratus orang berarak dalam pengebumian dua lelaki itu di bandar Jaba’ barat daya Jenin, termasuk beberapa lelaki bersenjata yang melepaskan senapang ke udara dan mengancam membalas dendam.

Seorang lelaki bersenjata Jihad Islam ketiga, yang telah cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel pada awal Januari, juga diumumkan meninggal dunia semalam.

“Kami sangat merasai kesedihan yang mendalam dan akan membalas tindakan itu dua kali ganda lebih keras,” kata seorang lelaki bersenjata Jihad Islam bertopeng semasa pengebumian di Jaba.

Sejak bermulanya dua minggu pertama 2023, 11 rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan itu, termasuk tiga remaja, menurut pegawai Palestin.

Tiada tentera Israel terbunuh dalam operasi terbabit.

Seorang warga Palestin yang menikam seorang peneroka Yahudi di Tebing Barat ditembak mati minggu lalu. – REUTERS

Loading...
Terkini