HOME / Luar Negara

Thailand Sambut Pelancong Lengkap Divaksin, Termasuk Malaysia

Thailand bakal menyambut ketibaan pelancong yang lengkap vaksin COVID-19 dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah termasuk Malaysia, bermula 1 November depan.

Pelancong dari Australia, Kemboja, China, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Amerika Syarikat, dan United Kingdom, dikecualikan menjalani kuarantin wajib.

Semua pelancong yang memasuki Thailand wajib membeli insurans perubatan dan mempunyai keputusan ujian RT-PCR negatif dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Menurut Royal Gazette, Thailand akan membuka semula Bangkok dan destinasi pelancongan utama lain termasuk Hua Hin, Pattaya, Krabi, Koh Chang dan beberapa daerah di Chiang Mai di bawah program ‘sandbox’.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha berkata, senarai negara dan wilayah berisiko rendah telah bertambah kepada 46 negara berbanding 10 negara sebelum ini.

“Kita perlu bertindak lebih pantas. Jika kita menunggu sehingga semuanya sempurna, kita mungkin sudah terlambat. Pelancong boleh memutuskan untuk berkunjung ke negara lain,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Pada awal bulan ini, beliau menjelaskan pelan membuka semula pintu negara untuk negara-negara berisiko rendah adalah langkah penting untuk menjana kembali pendapatan negara.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) akan memuktamadkan senarai negara dan wilayah berisiko rendah berkenaan.

Di bawah pengaturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap vaksinasi yang tiba menerusi pengangkutan udara dan diuji negatif COVID-19 bebas mengunjungi daerah lain di negara itu.

Menurut Kementerian Luar, pengembara mesti lengkap divaksin, sekurang-kurangnya 14 hari sebelum melakukan perjalanan. Mereka mesti tinggal di negara dan wilayah yang layak sekurang-kurangnya 21 hari berturut-turut.

Bagi pelancong yang tidak divaksin dan tiba dari negara yang tidak termasuk dalam senarai perlu menjalani kuarantin 10 hari di hotel Kuarantin Alternatif (AQ) dengan keputusan ujian RT-PCR negatif dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Mereka perlu menjalani dua ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelapan atau kesembilan. 

Ujian RT-PCR diwajibkan sejurus tiba di Thailand dan perlu menunggu keputusan di hotel terpilih sehingga keputusan negatif diperoleh.

Thailand mencatat lebih 1.8 juta kes COVID-19 dan lebih 18,500 kematian setakat ini. – BERNAMA