SINGAPURA: Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam dipilih sebagai presiden selepas memperoleh kemenangan besar dalam undian pertama negara itu.
Tharman menewaskan dua calon lain dengan menerima sebanyak 70.4 peratus undi.
Manakala bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song (15.72 peratus) dan bekas Ketua Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian (13.88 peratus).
Keputusan rasmi itu diumumkan Jabatan Pilihan Raya (ELD) selepas tengah malam tadi.

Di Facebook, Tharman mengatakan beliau terharu dengan sokongan yang kuat yang diberikan pengundi.
“Saya percaya pada undi yang diberikan untuk saya dan apa yang saya perjuangkan adalah undi keyakinan bagi Singapura sendiri, dan bagaimana kita boleh maju bersama dan saling tolong menolong sebagai rakyat Singapura.
Beliau juga berterima kasih kepada calon-calon lain yang telah “mengembleng sepenuhnya usaha dan tenaga dalam kempen mereka, dan menjadikannya sebagai pertandingan yang penuh bermakna.”
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Tharman dan yakin presiden baharu itu akan menjalankan tugasnya dengan cemerlang.
“Sebagai Ketua Negara, beliau akan mewakili kita di dalam dan luar negara, serta melaksanakan kuasa pengawasan, termasuk ke atas rizab negara dan pelantikan penting,” kata Lee dalam kenyataan yang dipaparkan di laman web Pejabat Perdana Menteri awal Sabtu.
Ia merupakan pilihan raya presiden pertama dipertandingkan dalam tempoh 12 tahun.
Kali terakhir pertandingan Pilihan Raya Presiden diadakan pada Ogos 2011 yang menyaksikan empat calon bersaing merebut jawatan berkenaan.