comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Tragedi Itaewon: Rakyat Malaysia perlu bantuan boleh hubungi kedutaan

Foto: AP

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Korea Selatan yang ingin mendapatkan maklumat terkini atau memerlukan bantuan selepas kejadian rempuhan maut di Itaewon, Seoul pada Sabtu, boleh menghubungi kedutaan menerusi talian +8210 8974 8699, menurut kedutaan di Instagram pada Ahad.

Kedutaan memaklumkan, pihaknya kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan serta mengikuti perkembangan terkini tragedi rempuhan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 151 nyawa ketika sambutan Halloween pada malam Sabtu.

Sementara itu, 19 korban dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, manakala 82 lagi dilaporkan cedera.

Mereka yang terbunuh terdiri 97 perempuan dan 54 lelaki, menurut Agensi Berita Yonhap.

Presiden Yoon Suk Yeol dalam ucapannya secara langsung dari pejabat presiden berkata: “tragedi dan bencana pada Sabtu itu tidak sepatutnya berlaku.

“Presiden juga mengumumkan negara berkabung susulan kejadian itu.

Rempuhan itu disifatkan insiden terburuk di Korea Selatan sejak tragedi feri Sewol karam pada 2014 mengorbankan 304 nyawa, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

Sambutan itu adalah acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik kebanyakan sekatan Covid-19.

Punca sebenar kejadian masih disiasat. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini