comscore
Tumpuan :
Luar Negara

WHO isytihar COVID-19 pandemik

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, semalam, seterusnya menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk adalah sangat membimbangkan.

Pandemik membawa maksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu luas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Lapor BH Online, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata virus berkenaan sudah menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dan meragut 4,291 nyawa, setakat ini, bahkan angka terbabit dijangka terus meningkat.

“Kami sangat khuatir dengan tahap penularan dan keadaan wabak ini yang teruk, serta tindakan tidak mencukupi yang membimbangkan

“Sehubungan itu, kami telah membuat penilaian bahawa COVID-19 boleh disifatkan sebagai satu pandemik,” katanya dalam satu sidang media.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara khusus negara yang gagal mengambil tindakan mencukupi mahupun menjelaskan pendekatan lanjut diperlukan.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa semua negara perlu mengambil tindakan segera dan agresif untuk mengekang serta memerangi virus berkenaan.

Jumlah kes COVID-19 di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, manakala bilangan negara yang terkesan bertambah tiga kali ganda.

Iran dan Itali muncul negara paling terkesan di Asia Barat serta Eropah dengan masing-masing mencatatkan 354 dan 827 kematian, setakat ini.

Loading...
Terkini