comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Wisma Putra Pantau Perkembangan Kes Hukuman Mati Tahanan Malaysia Di Singapura

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) — Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan kes pelaksanaan hukuman mati ke atas tahanan warganegara Malaysia, Nagaenthran Dhamalingam dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada Nagaenthran dan keluarga.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam suatu kenyataan hari ini berkata, beliau juga telah mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura berkenaan dengan kes tersebut.

Saifuddin berkata beliau juga telah menerima surat daripada organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang memberitahu tentang pelaksanaan hukuman tersebut serta memohon supaya Kementerian Luar membangkitkan kes itu kepada kerajaan Singapura. 

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency). Bagaimanapun, permohonan tersebut telah ditolak pada 1 Jun 2020. – BERNAMA

Loading...
Terkini