comscore
Tumpuan :
Mahkamah

14 individu didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap lelaki 

BUTTERWORTH: 14 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dengan menggunakan parang serta kayu dan memiliki senjata berbahaya di tempat awam dalam kejadian Jumaat lalu.

Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 51 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka secara bersama didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang mempunyai tujuan sama untuk mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 21 tahun.

Ia apabila sekumpulan mereka menggunakan parang dan kayu hingga menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dalam kejadian terbabit.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka secara berasingan didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang di tempat awam tanpa sebarang maksud yang sah.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa dilakukan berhadapan sebuah premis di Lorong Bunga Raya 2, Taman Bunga Raya dalam daerah Seberang Perai Utara, di sini, jam 7.15 petang pada 3 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat sekiranya didapati bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail, Lee Jun Keong dan Mohd Azhar Hamzah manakala enam tertuduh diwakili peguam Rafael Abdullah, namun lapan lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM20,000 dan RM28,000 bagi dua pertuduhan berkenaan dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang daripada 14 tertuduh berkenaan turut didakwa melakukan pemerasan sehingga menyebabkan mangsa lelaki berusia 38 tahun berada dalam ketakutan.

Ia selepas tertuduh yang juga pengusaha kedai kopi, Bee Hooi Siang,51 dikatakan mahu membunuh mangsa yang secara curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang RM10,000 ke dalam akaun tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Gajah, di sini, jam 8.13 pagi pada 3 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh berikutan kesalahan serius, di samping dikhuatiri tertuduh akan mendekati mangsa.

Bagaimanapun, sekiranya jaminan diberikan, tertuduh perlu dikenakan syarat tambahan antaranya melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan, dilarang untuk mendekati mangsa dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Hakim kemudian melepaskan tertuduh dengan jaminan RM15,000 dan meminta kesemua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan diikuti tertuduh serta menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini