comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 anggota penguat kuasa direman 7 hari bagi bantu siasatan kes rasuah

FOTO: NSTP

MELAKA: Dua anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM2,500 daripada seorang kontraktor untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua pekerjanya warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan pada jam 11.30 malam tadi di Jasin, susulan laporan dibuat pengadu berusia 39 tahun bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Terdahulu, kedua-dua suspek berusia 58 dan 37 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka menaiki kenderaan SPRM pada jam 9 pagi bagi mendapatkan perintah reman.

Majistret Mazana Sinin membenarkan kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 20 Mei ini selepas dipohon pengawai penyiasat SPRM untuk melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek masing-masing berpangkat sarjan dan koperal itu.

Menurutnya, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini