comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 Bekas Pegawai Kanan Hospital Didakwa Minta, Terima Rasuah

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Dua bekas pegawai kanan sebuah hospital swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berhubung pemberian kontrak pembekalan peralatan perubatan serta pengurusan pembelian tanah bagi hospital berkenaan.

Bekas Ketua Pegawai Operasi, R. Mahendran, 52, dan bekas Pengurus Projek Wong Soon Kee, 65, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mahendran menghadapi masing-masing satu pertuduhan meminta suapan RM250,000 dan menerima suapan RM200,000 daripada Foo Chee Kim sebagai upah melantik sebuah syarikat hartanah menjadi broker kepada hospital itu untuk menguruskan pembelian sebidang tanah di Cheras.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Subang Jaya antara 1 Jan 2018 dan 23 Okt 2019.

Wong pula dituduh atas satu pertuduhan meminta suapan sebanyak lima peratus bagi setiap nilai kontrak yang bakal diperoleh oleh sebuah syarikat daripada hospital tersebut sebagai dorongan untuk dirinya membantu syarikat itu memperoleh kerja pembekalan barangan perubatan di hospital tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Subang, dekat sini antara Januari dan Jun 2016.

Warga emas itu juga didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM90,090 bagi dirinya melalui pindahan wang daripada akaun syarikat sama ke dalam akaun miliknya sebagai upah membantu syarikat itu memperoleh kerja pembekal di dua cawangan hospital itu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Maybank cawangan USJ, Subang antara 30 Sept 2016 dan 19 Mac 2018.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozilah membenarkan Mahendran diikat jamin RM70,000 dan Wong RM40,000, masing-masing dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahendran diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali dan mahkamah menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd Anas manakala peguam, Ungku Ikram Abdul Aziz mewakili Mahendran dan Wong diwakili peguam Joachim Maria.-BERNAMA

Loading...
Terkini