comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 lelaki dipenjara selepas mengaku halang penjawat awam

FOTO: NSTP

MUAR: Dua lelaki berstatus bapa yang melarikan diri selepas dikejar polis kerana disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah, dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhamad Khairulnizan Jabbar, 37, dan Mohamad Shaiful Azhary Mohd Tukimin, 36, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Muhamad Khairulnizan yang bekerja sendiri, manakala Mohamad Shaiful Azhary pula pekerja restoran makanan segera didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam iaitu seorang pegawai polis.

Kejadian itu berlaku di Jalan Parit Nombor 1, Parit Yusof, di sini pada jam 2.45 pagi, 23 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, polis menjalankan rondaan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terserempak kereta dinaiki dua tertuduh termasuk seorang lagi yang masih bebas.

Polis mengarahkan tertuduh memberhentikan kenderaan, namun mereka bertindak memecut hingga memaksa pasukan keselamatan mengejarnya.

Kenderaan dinaiki tertuduh memecut lebih 10 kilometer sebelum memasuki ladang kelapa sawit di Kampung Semerah, Batu Pahat.

Semua tertuduh bertindak keluar dari kenderaan untuk melarikan diri, namun dua daripadanya berjaya ditahan manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

Pemeriksaan dalam kereta dinaiki tertuduh menemui pelbagai peralatan digunakan untuk pecah rumah antaranya pahat, pemutar skru, sarung tangan dan playar.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Sakinah Suhaimi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap kedua-dua tertuduh berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan pada 23 Mei lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini