
JOHOR BAHRU: Dua lelaki mengaku bersalah di dua mahkamah hari ini atas lima pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dan bahan lucah, Disember tahun lalu.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh Lim Xin Yi, 31, yang bekerja sendiri berdepan tiga pertuduhan, manakala pemandu e-hailing, Goh Kien Yoong, 37, berdepan dua pertuduhan berasingan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Xin Yi berdepan dua pertuduhan iaitu mempunyai 2,172 keping gambar dan 400 video bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, di dua komputer berbeza.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Hang Lekir 18, Taman Skudai Baru, lebih kurang 10.30 malam pada 23 Disember tahun lalu.
Sementara, Kien Yoong berdepan satu pertuduhan iaitu memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak sebanyak 211 keping gambar dalam komputer riba, yang dilakukan di Jalan Indah 26/7, Taman Bukit Indah 2 di Iskandar Puteri, lebih kurang 9 malam pada 23 Disember tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau keduanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan RM10,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dan dua syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada Mahkamah.
Kes disebut semula pada 13 Februari depan untuk fakta kes dan hukuman.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Xin Yi juga berdepan satu pertuduhan iaitu menyimpan gambar dan video lucah dan mengaku bersalah di hadapan Majistret, A Shaarmini.
Kesalahan dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 929 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam.
Mahkamah menetapkan Xin Yi didenda RM5,000 jika gagal bayar lima bulan penjara.
Dalam pada itu, Kien Yoong turut berdepan satu pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah dalam telefon bimbit di Mahkamah Majistret berasingan dan mengaku bersalah di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Kesalahan dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 929 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R.Nevina, manakala tertuduh diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Heng Wang Qianwei.
Bagi Kien Yoong, mahkamah menetapkan denda RM5,000 jika gagal bayar 12 bulan penjara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.