comscore
Tumpuan :
Mahkamah

23 Mei keputusan representasi Papagomo gugur tuduhan menghasut – Mahkamah

Bekas EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 23 Mei ini untuk mengetahui keputusan representasi dikemuka bekas EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo bagi menggugurkan tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut iaitu kerajaan pro-Israel dan Barat.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan hanya menerima salinan representasi itu pada pagi ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan berkata tiada keputusan berhubung representasi itu kerana baru menerima salinannya.

Peguam bela Wan Muhammad Azri, Logen Eskander Abdullah pula berkata representasi itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 5 April lalu.

Peguam itu ketika ditemui media bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan representasi itu.

Pada 8 Januari lalu, Wan Muhammad Azri, 41, yang juga blogger mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus pertuduhan itu dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, Papagomo didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi’, jam 1 tengah hari, 8 November lalu, di mana kata-kata berkenaan dilihat oleh seorang lelaki dikenali Hisham Sharudin, 42, di sebuah kondominium di Bukit Bintang.

Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini