comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 3 guru, pembantu taska didakwa abai dua kanak-kanak


MELAKA: Tiga guru dan seorang pembantu taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan berasingan mengabaikan dua beradik berusia empat dan enam tahun antara Mac hingga Mei lalu.

Semua kes itu disebut di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah di Mahkamah Sesyen 3 dan Hakim Azaraorni Abd Rahmad di Mahkamah Sesyen 2.

Keempat-empat tertuduh, Jamia Abd Rahman, 41, Nur Hanis Azwani Ghazali, 24, Hafsah Ab Razak, 33, dan Nur Diyana Zainuddin, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan, masing-masing.

Pada prosiding pertama, Jamia dituduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu pembantu taska kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun sewaktu kejadian, didapati mengabaikan atau mendedahkannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bonda Preschool di Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak, dekat sini, pada Mac lalu, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Guru taska, Nur Hanis Azwani pula didakwa melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak sama pada April lalu, kira-kira jam 1.30 tengah hari di tempat sama.

Di Mahkamah Sesyen 2, guru taska, Hafsah dan Nur Diyana masing-masing didakwa mengabai atau mendedahkan mangsa sama dan abangnya berusia enam tahun yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi di taska sama pada April dan awal Mei lalu di tempat sama, kira-kira jam 1.30 tengah hari dan 12.30 tengah hari.

Semua tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fadil Mohd Yusof didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan dan Nur Asnini Kamarudin yang mencadangkan jaminan RM15,000 dan RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam memohon jaminan rendah tanpa bon atas alasan Jamia seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit jantung dan hanya bertugas sebagai tukang masak dan mengemas di Bonda Preschool serta tidak terbabit dengan kanak-kanak.

Katanya, Jamia akan dijamin oleh anak sulung yang hanya bekerja dengan gaji RM1,500 manakala Nur Hanis Azwani pula akan dijamin oleh bapanya yang berniaga makanan dengan pendapatan tidak menentu.

Hujah sama turut digunakan peguam bagi dua lagi tertuduh yang turut menjaga ibu bapa yang menghidap penyakit.

Mahkamah membenarkan Jamia dan Nur Hanis Azwani dijamin RM7,000 manakala Hafsah dan Nur Diyana pula sebanyak RM10,000 seorang berserta syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan bagi laporan perubatan dan serahan dokumen pada 24 dan 30 Julai depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini