comscore
Tumpuan :
Mahkamah

3 individu mengaku salah, hantar barang guna pembalut ayat al-Quran

Foto tular bungkusan dengan balutan yang bercetak dengan tulisan ayat al-Quran. FOTO: NSTP/ Foto Tular

BALIK PULAU: Pengurus, operator percetakan dan pembungkus barangan mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menggunakan balutan yang bercetak dengan tulisan ayat al-Quran, pada 5 Jun lalu.

Tertuduh, Chin Chang Swee, 44; Kanu Anil Sah, 29 dan San Thay Aung, 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, pada jam 11.30 pagi, 5 Jun lalu ketika berada di DHL Warehouse Sungai Tiram, Bayan Lepas dalam daerah Barat Daya, didapati dengan sengaja mencapai niat bersama menghantar tiga bungkusan dari pejabat mereka Advance Cell Coporation Sdn Bhd, Alamat 22A Jalan 12/118B Desa Tun Razak Kuala Lumpur ke Syarikat Top Speed Service, 49C Jalan Batu Jantan Ayer Itam Pulau Pinang dengan menggunakan balutan yang bercetak tulisan ayat al-Quran bagi melukakan perasaan keagamaan orang itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa peruntukan hukuman penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM5,000 setiap seorang atau lima bulan penjara jika gagal bayar denda.

Kesemua tertuduh kemudian membayar jumlah denda yang dikenakan terhadap mereka.

Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial memaparkan bungkusan yang dibalut menggunakan kertas bercetak ayat al-Quran.

Bungkusan itu didakwa dihantar oleh sebuah syarikat percetakan di Jalan Tun Razak, Cheras ke Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan kurier.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, laporan polis dibuat oleh penghantar kurier berusia 41 tahun itu selepas melakukan pemeriksaan terhadap tiga bungkusan berkenaan.

“Bimbang berikutan ayat suci al-Quran digunakan di tempat tidak sepatutnya dan disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab, pengadu menukar pembalut itu sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini