comscore
Tumpuan :
Mahkamah

3 lelaki didakwa bunuh rakan dengan 18 tikaman

Veeraganeish (depan), Sasikumar dan Dinesh didakwa bunuh rakan mereka di tepi jalan berdekatan kebun kelapa sawit Kemuning, Pulau Sebang, dua minggu lalu. – FOTO: NSTP

ALOR GAJAH: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan mereka yang mayatnya ditemui dengan 18 kesan tikaman dalam semak berhampiran kebun kelapa sawit, dekat sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, AA Dinesh; RC Veeraganeish dan V Sasikumar masing-masing berusia 25 tahun hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian terhadap R Darvnrajh, 24, di tepi jalan berdekatan kebun kelapa sawit Kemuning, Pulau Sebang, dekat sini, pada 10 September 2023 antara jam 5.24 pagi hingga 9 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin sementara peguam Fadzil Abdullah @ Munusamy Naydu mewakili semua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula selepas dipohon Muhamad Ehsan bagi mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa.

Ahli keluarga mangsa turut hadir dan berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Alor Gajah sambil memegang sepanduk memaparkan gambar mangsa dan melaungkan ‘justice’ untuk anak mereka.

Pasukan polis menjalankan siasatan di tempat penemuan mayat lelaki di lokasi kejadian- Foto pembaca

Dua minggu lalu, media melaporkan dendam dipercayai menjadi motif seorang pemuda dibunuh kejam, sebelum mayatnya ditemui dengan 18 kesan tikaman dalam semak berhampiran kebun kelapa sawit di Kemuning, Alor Gajah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini