IPOH: Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak antara empat individu yang ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penerimaan wang rasuah berkaitan Program Repatriasi Migran (PRM).
Tempoh reman bermula hari ini sehingga esok terhadap empat individu berumur antara 30 hingga 55 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Siti Nora Shariff ketika semua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Difahamkan, tiga suspek penjawat awam dari JIM itu berpangkat Penguasa (KP42) dan Pegawai Imigresen masing-masing bertaraf KP19 dan KP22.
Tiga warga Imigresen serta seorang ejen pekerja asing itu yang terdiri dari tiga lelaki dan seorang wanita, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak, di sini antara petang semalam hingga malam tadi.
Ianya selepas mereka disyaki terbabit dalam aktiviti meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM50 sehingga RM300 dari setiap pekerja asing yang ingin pulang ke negara asal secara sukarela melalui PRM.
Wang rasuah yang diterima itu adalah sebagai balasan untuk mempercepatkan kelulusan program terbabit, dengan aktiviti itu dikesan bermula sejak dari Mac hingga September 2024.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.