comscore
Tumpuan :
Mahkamah

3 pembantu penguasa JKDM didakwa terima rasuah

SEREMBAN: Tiga pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebagai balasan tidak memeriksa lori milik sebuah syarikat di pintu keluar Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tertuduh Earizal Mohd Khalil, 43, Ngu Su Siew, 35, dan Mohamad Izuwan Mohd Ali, 32, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut tiga pertuduhan terhadap Earizal, dia sebagai Penguasa Kastam Gred WK19 yang bertugas di JKDM KLIA, secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang berjumlah keseluruhan RM2,950 daripada pemilik sebuah syarikat melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank tertuduh.

Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh tidak memeriksa lori-lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.

Kesalahan itu dilakukan antara 28 Mei 2017 hingga 3 Mac 2018 di sebuah bank di Kuala Pilah.

Su Siew dan Mohamad Izuwan yang juga anggota Gred WK19 dan bertugas di lokasi sama memperoleh masing-masing RM3,000 dan RM1,200 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Su Siew melakukan kesalahan itu pada 20 Disember 2022 manakala Mohamad Izuwan pada 23 Ogos 2019 dan 31 Mac 2020 di sebuah bank di Nilai.

Berikutan itu kesemua mereka melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Peguam Helmi Hassan mewakili Earizal, manakala Su Siew dan Mohamad Izuwan diwakili Afiqah Mohd Azmi.Dalam rayuan dikemukakan, peguam masing-masing memohon jaminan minimum atas alasan anak guam mereka mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.

Pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan.

Kesemua tertuduh turut diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan sebutan semula kes 12 Julai ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini