
TELUK INTAN: Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu bernilai lebih RM65,000, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafis Abu Bakar, 39, Muhamad Aliff Saidin, 34 dan Muhammad Aiman Afiq Muhamad Yusri, 27 mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.918 kilogram (kg) di parkir sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, di sini, jam 2.50 petang, 6 Januari lalu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 19 Mac depan sementara menunggu laporan kimia.
Terdahulu, media melaporkan polis memberkas tiga lelaki itu selepas menemui dua bungkusan berisi dadah jenis syabu seberat 1.918kg dianggarkan bernilai RM65,212 di dalam kereta Toyota Camry dinaiki tertuduh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.