comscore
Tumpuan :
Mahkamah

30 Januari 2023 ketahui wujud prima facie atau tidak terhadap Najib, Arul

Datuk Seri Najib Razak (Kiri), Arul Kanda Kandasamy. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 30 Januari tahun depan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy yang didakwa meminda laporan pengauditan syarikat pelaburan strategik itu.

Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu untuk membuat keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi pihak pendakwaan dan peguam Tan Sri Shafee Abdullah mewakili Najib serta Datuk N Sivananthan bagi pihak Arul Kanda.
“Saya berterima kasih dengan hujahan semua pihak,” kata Mohamed Zaini ringkas.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula 18 Februari 2019.

Sementara itu pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Antara saksi utama dipanggil memberikan keterangan antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. –  BERITA HARIAN

Loading...
Terkini