comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 4 pembantu penguasa kastam didakwa terima rasuah berjumlah RM39,750


SHAH ALAM: Empat Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM39,750.

Rahi Shamudin Ishak, 51; Mat Hafizan Abdullah, 42; Ahmad Shahremy Ahmad Damanhuri, 40; dan Mohd Sufian Hashim, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Rahi didakwa atas 42 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM400 sehingga RM2,000 antara 1 Disember 2017 dan 4 April 2023, manakala Mat Hafizan berdepan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM300 antara 3 Julai 2020 dan 3 Jun 2021.

Ahmad Shahremy pula didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 pada 4 Mei 2018, manakala Mohd Sufian didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM850 dan RM400 masing-masing dilakukan pada 30 Jun 2018 dan 24 April 2023.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang, Taman Sri Serdang dan Bandar Baru Salak Tinggi.

Kesemua mereka didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik syarikat Kalos Enterprise berusia 38 tahun, melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu, yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala Rahi, Mat Hafizan dan Mohd Sufian diwakili Mohd Hezri Shaharil, sementara Ahmad Shahremy pula diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan kepada Rahi sebanyak RM30,000, Mat Hafizan (RM10,000) dan Ahmad Shahremy serta Mohd Sufian masing-masing sebanyak RM8,000 oleh seorang penjamin.

Kesemua tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan laporan polis berhubung kehilangan pasport bagi Rahi, selain keempat-empat mereka perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya setiap awal bulan dan tidak dibenarkan berhubung atau menggangu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen bagi kesemua tertuduh pada 11 Julai depan.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi  yang bermula pada 11 hingga 25 Mac itu, menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini