comscore
Tumpuan :
Mahkamah

6 Remaja Usia 15 tahun Mengaku Salah Rogol Pelajar Tingkatan 2

BACHOK: Enam remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 15 pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan dua pada kejadian di Tawang di sini, Ogos hingga September lalu.

Semua tertuduh yang berusia 15 tahun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi. Setiap tertuduh masing-masing berdepan dua hingga tiga pertuduhan. Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama berusia 14 tahun 10 bulan.

Kejadian itu dilakukan di sebuah bilik di kedai makan di Jelawat, Bachok antara jam 12.30 tengah malam sehingga jam 2.30 pagi pada pertengahan Ogos sehingga September.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi.

Semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norizaidah Abdul Salam. Terdahulu, Mohd Hakimie memohon supaya tiada jaminan ditawarkan manakala Norizaidah pula memohon jaminan ditawarkan memandangkan semua tertuduh masih bersekolah dengan sebahagian keluarga pula adalah orang susah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Disember depani sebagai sebutan semula kes. Sementara itu, dua lagi tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tiga pertuduhan merogol mangsa pada tarikh dan lokasi yang sama.

Kedua-dua tertuduh berusia 18 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mahkamah kemudiannya membenarkan seorang daripada tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala seorang lagi tidak dibenarkan jamin. Mahkamah turut menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini