Oleh: Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: Enam sekeluarga etnik Rohingya termasuk seorang wanita yang sedang sarat mengandung dipercayai menjadi dalang jenayah pecah rumah di lima negeri, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas 17 tuduhan pecah rumah, menyimpan barang curi dan melanggar Akta Imigresen.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Dalang jenayah itu, Nurjahan Ismail, 34, berdepan 13 tuduhan membabitkan sembilan tuduhan menyimpan harta curi, tiga pecah rumah dan satu masuk rumah tanpa kebenaran.
Manakala suaminya, Muhammad Ibrahim Md Yusof, 24, pula berdepan lapan tuduhan menyimpan harta curi dan tiga tuduhan pecah rumah.
Kesemua kesalahan itu dilakukan pasangan berkenaan di sekitar Kota Tinggi dan Mersing di Johor antara 7 Mei hingga 25 September lalu.
Bagi kesalahan memecah masuk mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dan bagi kesalahan menyimpan barang curi mereka didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Manakala kesalahan masuk rumah tanpa kebenaran pula mereka didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Turut didakwa menantu pasangan itu, Mohamad Jamal, 19, isterinya, 17 tahun dan dua anak mereka yang masing-masing berumur 13 dan 14 tahun.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 6 (1c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana masuk negara ini tanpa pas yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tememin Baru, Kota Tinggi kira-kira 1 petang, pada 25 September lalu.
Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta enam sebatan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh kerana mereka bakal berdepan dengan tuduhan yang sama di negeri lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong, manakala semua tertuduh diwakili peguam, L. Mehnagha.
Mahkamah menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Polis Johor sebelum ini berjaya menumpaskan satu sindiket pecah rumah etnik Rohingya di lima negeri membabitkan kerugian lebih RM1.25 juta.
Dua dari anggota sindiket terbabit adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk perlarian (UNHCR) dan mempunyai 54 rekod jenayah lampau.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.