Oleh: Atikah Azlan
PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah Petaling hari ini, menetapkan 7 Oktober depan sebagai sebutan semula kes permohonan cerai pasangan selebriti, Fattah Amin dan Fazura.
Peguam yang mewakili Fattah, Zulkifli Che Yong Azmi memaklumkan kedua-dua mereka akan melakukan perbincangan di luar mahkamah seperti yang dipersetujui Fattah.
Bagaimanapun, perbincangan itu tidak melibatkan mana-mana Jawatankuasa Pendamai (JKP) Mahkamah Syariah.
Menurut peguamnya, Fattah juga dilaporkan tidak bersetuju dan belum bersedia untuk bercerai.
“Pihak defendan Fattah belum bersedia dan bersetuju untuk bercerai, kerana pihak-pihak dalam kes ini sedang cuba untuk memuktamadkan terma-terma bagi menyelesaikan isu-isu yang berkait semasa perkahwinan,” katanya.
Mengulas berkenaan situasi berkenaan, Fattah akui terkilan susulan mengetahui permohonan cerai isterinya itu melalui media sosial.
“Saya sedih, itu perasaan saya, saya ada perasaan, saya bukan robot. Faham sendiri lah,” katanya.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, penangguhan itu dibuat susulan menerima cadangan baru daripada defendan yang mahu kes itu diselesaikan secara baik.
“Pagi ini kami menerima satu cadangan penyelesaian daripada pihak Fattah sekali gus mahkamah menangguhkan kes ini pada 7 Oktober ini untuk pihak-pihak berbincang sebelum tarikh prosiding.
“Kami tak boleh nak dedahkan butiran cadangan itu, tapi ia bukan melalui JKP,” katanya.
Terdahulu Fazura tiba di mahkamah kira-kira jam 9.28 pagi berpakaian jubah serba serba putih dengan ditemani lima pengawal peribadi serta pengurus, Iman Tang, manakala Fattah yang hadir jam 9.10 pagi terus naik ke mahkamah.
Sebelum ini, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.