Tumpuan :
Mahkamah

9 lelaki didakwa terlibat aktiviti ketirisan diesel

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Seramai sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan memiliki minyak diesel berjumlah keseluruhan 34,740.44 liter tanpa kebenaran Pegawai Pembekal di Kuala Paka, Dungun pada tahun lalu.

Tertuduh, Azni Zabar, 39 tahun, Mohd. Luqman Ramli, 31; Hasdi Mustapa, 43; Hasrul Azly Mustapa, 32; Mohamad Saufi Abdul Ghapa. 29; Mohd. Rozi Mohd. Zain, 38; Che Harun Mat Jusoh, 63; Hirool Farihan Hussin, 41; dan Abd. Mukmin A. Razak, 36 tahun.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Azmi dan Mohd. Luqman didakwa memiliki 3,992.56 liter minyak diesel yang merupakan barang kawalan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah stesen servis di Kuala Paka, Dungun pada pukul 2 pagi, 6 Julai 2023.

Hasdi; Hasrul Azly; Mohamad Saufi; dan Mohd. Rozi pula didakwa memiliki minyak diesel berjumlah 1,677.1 liter di simpan di dalam tangki tambahan plastik di sebuah stesen minyak di Kuala Paka, Dungun pada pukul 1.55 pagi, 6 Julai 2023.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Hasdi turut didakwa bersama-sama Che Harun; Hirool Farihan dan Abd. Mukmin menyimpan minyak diesel berjumlah 29,070.78 liter di dalam tangki simpanan sebuah lori.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pejabat syarikat logistik di Jalan Besar Kampung Cacar, Paka, Dungun pada 9.30 pagi, 6 Julai 2023.

Kesemua tertutuh didakwa mengikut Seksyen 22(A)(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Azmi, Mohd. Luqman dan Hasdi dibebaskan dengan wang jaminan keseluruhan RM8,000 dan seorang penjamin.

Hasrul Azly; Mohamad Saufi; dan Mohd. Rozi dikenakan wang jaminan RM6,000 manakala Che Harun; Hirool Farihan dan Abd. Mukmin pula RM5,000.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini