comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Abang penyerang Balai Polis Ulu Tiram didakwa sokong, miliki bahan berkaitan kumpulan IS

Radin Romyullah (dua kiri) yang juga abang sulung lelaki menyerang Balai Polis Ulu Tiram didakwa beri sokongan, miliki bnahan berkaitan kumpulan IS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Abang sulung lelaki penyerang Balai Polis Ulu Tiram yang mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan Islamic State (IS).

Radin Romyullah Radin Imran, 34, seorang penghantar makanan membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim K Muniandy, yang kemudiannya menetapkan 15 November ini untuk pengurusan kes.

Dalam pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan militan iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Radin Romyullah juga didakwa memiliki satu external hard disc yang mengandungi bahan-bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan perbuatan kumpulan itu di lokasi sama pada jam 10.45 pagi, 17 Mei dan jam 2.30 petang, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan berkata, Radin Romyullah akan dibicarakan bersama tertuduh lain yang sebelum ini dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Tinggi, di sini, di hadapan hakim berbeza.

“Pihak pendakwaan berhasrat untuk menjalankan perbicaraan bersama dan permohonan rasmi akan dibuat,” katanya.
Peguam Arief Firdaus Ashikin yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Pada 30 September, ibu tertuduh, Rosna Jantan, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Dalam serangan di balai polis itu 17 Mei lalu, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini