
Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu terdapat seseorang yang sengaja mengunci tombol pintu bilik tidur Nazrin Hassan dari luar dan mencipta ‘lokasi jenayah’ (staged crime scene) pada hari mayat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu ditemui.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mohd Amril Johari berhujah, tidak mungkin tombol terbabit telah terkunci dengan sendiri dari dalam memandangkan kebakaran tidak merebak ke pintu berkenaan.
Pihak pendakwaan membuat hujahan itu bagi merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar serta dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin, lima tahun lalu.
Menurut Mohd Amril, kesan terbakar pada tombol itu juga sengaja dilakukan bagi memberikan gambaran tombol berkenaan terkunci disebabkan sambaran api kebakaran memandangkan kebakaran tidak merebak ke pintu, sebaliknya hanya terdapat kesan jelaga.
“Kesan kebakaran pada tombol juga dilakukan tombol itu terkunci disebabkan oleh kebakaran atau haba kebakaran dan ini adalah merupakan satu persediaan untuk mencipta satu ‘staged crime scene’,” katanya.
Pihak pendakwaan juga memberitahu kewujudan post-mortem hypostasis iaitu ‘irregular linear marks’ pada belakang badan si mati menunjukkan mayat si mati telah dialihkan.
Selain itu, kewujudan percikan darah pada dinding di bahagian kepala katil yang kemudian disahkan positif DNA Nazrin turut membuktikan perkara sama.
“Bagaimana boleh dijumpai darah si mati pada dinding sedangkan mayat si mati dijumpai di atas lantai?,” katanya.
Jelas beliau lagi, tiada mana-mana saksi yang benar-benar dapat memastikan telah berlaku letupan sehingga menyebabkan kematian Nazrin.
Jelasnya, kesan kecederaan pada mayat mangsa juga tidak menunjukkan kecederaan selari dengan dakwaan berlakunya letupan.
Sekiranya berlaku letupan (daripada telefon bimbit), telinga mangsa ujarnya akan terkoyak, namun ia masih lagi elok.
“Saksi pendakwaan ke-39 (pegawai forensik mengkaji percikan darah, Asisten Superintenden, Mohd. Nizam Husain) mengesahkan bahawa kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.
“SP39 turut mengesahkan bahawa kesan darah yang terjadi pada dinding adalah sebelum kebakaran kerana ia wujud di sebalik jelaga kebakaran,” kata Mohd Amril.
Perbicaraan di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli akan bersambung 17 Oktober depan.
Pada prosiding ini, responden diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Samirah, dua remaja dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.
Bagaimanapun, pada 21 Jun 2022, Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 48, serta dua remaja yang masing-masing berusia 18 dan 21 tahun.