comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Aduan dibuat terhadap Wan Saiful berdasarkan hasil siasatan lanjut – Saksi SPRM

 

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa aduan dibuat terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan atas dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa berdasarkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Saksi, Khusyaini Adhillah Mat Aripin, 37, yang juga Penguasa Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya memaklumkan aduan itu dibuat selepas perbincangan dijalankan bersama Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan SPRM pada 27 Januari tahun lalu.

“Pada 27 Januari 2023, saya telah menerima maklumat bahawa lanjutan daripada siasatan aduan mendapati pada tahun 2022, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan sebagai Ketua Penerangan Bersatu telah meminta dan menerima rasuah daripada Syarikat Nepturis Sdn Bhd berjumlah RM6.9 juta sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

“Berdasarkan kepada maklumat tersebut saya telah membuka satu borang aduan SPRM pada hari yang sama jam lebih kurang 10.18 pagi,” jelasnya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Saksi turut mengesahkan aduan terbabit ditulis dan ditandatangan olehnya sebelum diserahkan kepada Unit Rekod Sektor Awam untuk siasatan selanjutnya dapat dijalankan.

“Sebelum aduan ini dibuat, saya sahkan bahawa aduan ini telah dibuka hasil siasatan lanjut aduan sebelum ini. Kemudian saya telah berbincang dengan Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan,Ibu Pejabat SPRM iaitu Penolong Pesuruhjaya Mazery Mohd Zaini untuk membuka aduan.

“Setelah aduan ini dibuat, saya telah menyerahkan sesalinan aduan ini kepada Unit Rekod Sektor Awam untuk direkodkan dan untuk diambil tindakan iaitu agar suatu siasatan dapat dijalankan,” katanya lagi.

Dalam soal balas, Khusyaini bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful, bahawa aduan dibuatnya adalah laporan palsu dan berniat jahat terhadap Ahli Parlimen itu.

Amer Hamzah: Setuju saya katakan ayat tertera dalam borang aduan itu, adalah ayat anda sendiri?

Khusyaini Adhillah: Kerana ayat ini telah berbincangkan Ketua Cawangan saya ketika itu, Tuan Mazri Mohd Zaini.

Amer Hamzah: Jadi apa yang saya faham, kononnya Datuk Wan telah lakukan sesuatu perbuatan dia telah minta dan menerima rasuah, itu maksud ayat tersebut?

Khusyaini Adhillah: Tidak tahu.

Amer Hamzah: Segala maklumat kamu tidak tahu apa-apa?

Khusyaini Adhillah: Ya tuan

Amer Hamzah: Dalam erti kata lain, kamu buat laporan palsu, betul? Sebab kamu tidak boleh nak sahkan.

Khusyaini Adhillah: Tidak setuju

Bagaimanapun dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, Khusyaini berkata mana-mana pegawai SPRM yang mengesyaki terdapat maklumat tentang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, ia boleh didaftar dalam borang aduan.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini