comscore
Tumpuan :
Mahkamah

AGC belum buat keputusan mengenai representasi Najib untuk gugur pertuduhan

Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC International.- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum membuat keputusan berhubung representasi Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.

Semasa pengurusan kes hari ini Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy bahawa representasi itu masih belum diputuskan.

Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian meminta anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kerana tiada keputusan mengenai representasi yang difailkan Ogos lepas.

“Kami minta mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk memberikan DNAA, kemudian pihak pendakwaan boleh mendakwa semula (jika mereka mahu),” katanya.

Mohd Ashrof kemudiannya menjawab “Saya bukan mohon untuk menarik diri… kita teruskan sahaja perbicaraan… sekurang-kurangnya 20 hingga 25 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes yang dijadualkan pada September,” katanya dan memohon tempoh tiga bulan untuk menyediakan kenyataan saksi.

Hakim bagaimanapun hanya memberi masa dua bulan untuk pihak pendakwaan menyediakan keterangan saksi.

“Segerakan keterangan saksi dalam tempoh dua bulan dan dokumen mesti dikemukakan sebelum 20 Mei. Pengurusan kes seterusnya pada 27 Mei,” katanya.

Beliau sebelum ini menetapkan 17, 18, 19, 23 dan 24 Sept untuk perbicaraan.

Semasa prosiding Januari lepas Hakim Muniandy mengarahkan kes itu mesti diteruskan dengan perbicaraan kerana tertuduh didakwa pada 2019, dan jika pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan kes mereka pada hari berkenaan (17 Sept), pihak pembelaan bebas untuk memfailkan DNAA atau pembebasan sepenuhnya.

Pada 3 Feb 2019 Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Bekas Perdana Menteri itu berdepan dengan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini