comscore
Tumpuan :
Mahkamah

AGC perlu lebih masa teliti representasi kedua Mohd Irwan

Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan lebih masa untuk memutuskan representasi dikemukakan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung tuduhan pecah amanah dihadapinya bersama Datuk Seri Najib Tun Razak.

Datuk Seri Mohd Najib dan Tan Sri Mohd Irwan didakwa pada 2018 atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa ia adalah arahan daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk memohon satu lagi tarikh pengurusan kes.

“Jadi, kami perlukan masa untuk meneliti surat representasi kerana kes ini melibatkan jumlah yang besar iaitu RM6 bilion. Kalau boleh kami mohon satu tarikh pada September,” katanya.

Permohonan pendakwaan itu tidak dibantah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Mohd Najib, bagaimanapun peguam Datuk N Kumaraendran bagi pihak Tan Sri Mohd Irwan memohon tarikh lebih awal iaitu pada Julai dengan alasan pertuduhan ke atas anak guamnya sudah ‘tergantung’ selama lima tahun.

“Pertuduhan ini telah menghantui anak guam saya selama lima tahun. Beliau didakwa pada 2018 dan kes ini telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 2019. Kemudian pelbagai tarikh telah ditetapkan untuk pendengaran dan atas pelbagai sebab, tarikh telah dilapangkan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos bagi tarikh pengurusan kes bagi pendakwaan memaklumkan status representasi.

Datuk Seri Mohd Najib mengemukakan representasinya dua tahun lepas tetapi ditolak manakala representasi dihantar oleh Tan Sri Mohd Irwan pada 2020 tidak dijawab oleh AGC sehubungan itu Tan Sri Mohd Irwan menghantar permohonan representasi baharu pada Mac lepas.

Pada 24 Oktober 2018, Datuk Seri Mohd Najib, 69, dan Tan Sri Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini