comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ahli perniagaan didakwa lupus, pindah wang hasil aktiviti haram 

Perunding perniagaan, Khairul Khuzaini (kanan) mengaku tidak bersalah di atas 7 pertuduhan melupus dan memindahkan wang hasil pengubahan wang haram bernilai RM53,144, tiga tahun lalu.- FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan didakwa atas tujuh pertuduhan melupus dan memindah wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM53,144, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Khuzaini Zamsani, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa empat pertuduhan melupuskan wang berjumlah RM22,254 dan tiga pertuduhan memindahkan sejumlah RM30,890 yang kesemuanya hasil aktiviti wang haram.

Kesemua dilakukan menerusi akaun miliknya dan tiga akaun individu lain berusia 26 hingga 58 tahun di cawangan sebuah bank di Pandamaran, Klang antara 13 April hingga 15 Mei 2021.

Justeru, dia didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Julianazriana Jaafar mencadangkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Peguam Sabrina Mohd memohon jaminan dikurangkan kepada RM15,000 susulan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai perunding perniagaan dan menghidapi penyakit asma selain menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Mahkamah kemudiannya, membenarkan jaminan RM35,000 bersama penjamin yang beralamat tetap di Kuala Lumpur dan Selangor dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Difahamkan, selepas pertuduhan tersebut Khairul Khuzaini akan dibawa oleh pegawai polis ke Kelantan bagi siasatan berhubung dipercayai menyalahgunakan identiti kerabat Diraja Kelantan untuk mengiklankan pelaburan emas.

Sebelum ini pada 27 Julai 2021, media melaporkan Khairul Khuzaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu pelakon, Datuk Fizz Fairuz berhubung projek pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini