comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Ahli perniagaan dituduh perdaya lelaki hampir RM1.3 juta

FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Ahli perniagaan berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini atas lima pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah dan memperdaya seorang lelaki untuk menyertai pelaburan tidak wujud yang keseluruhannya membabitkan kerugian hampir RM1.3 juta, antara enam ke tujuh tahun lalu.

Tertuduh, G Chandrasegaran, 57 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu ketika ia dibacakan dihadapan Hakim Nor Aini Yusof dan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen, Chandrasegaran didakwa menerima wang deposit berjumlah RM820,000 daripada seorang lelaki berusia 53 tahun tanpa lesen sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Teratai Indah, di sini antara jam 10.33 pagi hingga 10.44 pagi, pada 28 Disember 2017.

Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Chandrasegaran turut tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan memperdaya mangsa sama untuk menyertai pelaburan tidak wujud.

Tindakan itu menyebabkan mangsa kerugian RM475,000 apabila menyerahkannya sendiri wang kepada tertuduh termasuk membuat beberapa pindahan ke dalam akaun bank milik tertuduh, antara 28 Januari 2018 hingga 5 Mac 2018.

Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan akan berdepan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan di Mahkamah Sesyen dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya

Qatrin Nada Harun dan Mahkamah Majistret pula dikendalikan oleh Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam R Arvend.

Hakim Nor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin termasuk tertuduh diminta melapor diri di balai polis berhampiran dengan kediaman pada 15 haribulan setiap bulan.
Manakala, Majistret Siti Zulaikha pula menetapkan jaminan RM32,000 bagi semua pertuduhan termasuk tertuduh dikenakan syarat tambahan sama seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen.

Kes akan disebut semula pada 26 April depan untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini