Tumpuan :
Mahkamah

Aktivis Iswardy Morni didapati bersalah hina YDP Agong melalui Facebook

KUALA LUMPUR: Aktivis Iswardy Morni didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook tiga tahun lalu.

Hakim Datuk M.M Edwin Paramjothy memutuskan Iswardy bersalah terhadap tuduhan itu selepas mendapati tertuduh gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Paramjothy bagaimanapun menangguhkan kepada 23 Januari tahun depan untuk mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan berhubung mitigasi (rayuan bagi diringankan hukuman) dan hukuman.

Pada 1 Jun 2021, Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook dengan nama Iswardy Morni Official, dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di sini pada jam 3 petang, 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Oktober lalu, mahkamah memerintahkan Iswardy membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini