SHAH ALAM: Pasangan pelakon terkenal, Nur Fazura dan Fattah Amin hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi ini bagi sebutan kes permohonan perceraian yang difailkan Fazura, dua minggu lalu.
Fazura, 41, yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi dengan mengenakan jubah putih dengan ditemani peguam syarie, Fakhrul Azman berserta empat pengawal peribadi.
View this post on Instagram
Fazura berkata, dia dalam keadaan tenang, pagi ini.
“Selamat pagi semua. Kita masuk dalam dulu (dewan bicara untuk perbicaraan kes permohonan perceraian).
“Alhamdulillah, saya tenang,” kata Fazura di hadapan kira-kira 50 pengamal media daripada pelbagai agensi yang hadir untuk membuat liputan.
Disoal mengenai anak, Fazura berkata, semuanya dalam keadaan baik.
Sementara itu, Fattah, 33, tiba beberapa minit lebih awal bersama peguam, Zulkifli Che Yong.
Namun, Fattah terlebih dahulu memasuki dewan bicara.
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di laman sembang hingga menarik perhatian netizen.
Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.