comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Alif Teega, Aisyah Hijanah mengaku tidak salah seleweng wang derma lebih RM1.5 juta

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Pasangan pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan salahguna wang derma bernilai lebih RM1.5 juta.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Alif Teega atau nama sebenarnya Mohd Alif Mohd Hazani, 30 dan Aisyah Hijanah atau nama sebenarnya Aisyah Hijanah Azhari, 26, didakwa secara bersama-sama menyalahgunakan wang derma untuk pelbagai tujuan.

Antaranya untuk projek infaq kurma, infaq al-quran di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, infaq pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, infaq bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dan sedekah set pakaian raya buat anak yatim.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza, antara Mei 2021 hingga Julai 2024.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM50,000 setiap seorang, bersama masing-masing seorang penjamin dengan syarat serahan pasport, dan lapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, pasangan itu yang tiba sekitar jam 8.50 pagi dilihat begitu tenang sambil sempat memberi senyuman kepada petugas media.

Jumaat lalu di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Alif mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan salah guna wang Infaq lebih RM63,000 pada April dan Jun lalu.

Julai lalu, Alif dan Aisyah, bersama dua lagi individu direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kes penyelewengan dana derma awam melalui platform JomDonate.

Reman kesemua mereka kemudiannya disambung lagi selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini