KUALA LUMPUR: Pempengaruh, Alif Teega akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok, atas kesalahan salah guna dana awam.
Selain itu, isterinya, Aisyah Hijanah, 26, juga dijangka didakwa di mahkamah itu atas kesalahan sama.
Alif didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyalahguna dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq, April dan Jun lalu.
Bagaimanapun, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pada Julai lalu, Alif dan isterinya yang juga pempengaruh popular direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Turut direman adalah dua lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Perintah reman itu dibuat selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.