comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Amang seksual anak tiri: Lelaki OKU dipenjara 6 tahun, 6 sebatan

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya -Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh berusia 44 tahun didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berumur 10 tahun 7 bulan.

Dia yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di daerah Kuala Terengganu antara April hingga Mei 2022.

Tertuduh berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan.

Tertuduh turut dipenjara satu tahun bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 16 (1) akta yang sama.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu dan dua berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Bagi hukuman untuk pertuduhan ketiga, mahkamah mengarahkan ia bermula sebaik sahaja tertuduh selesai menjalani hukuman bagi pertuduhan satu dan dua.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 AKKSTKK 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Loading...
Terkini