comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Anak bekas menteri hadapi tuduhan terima rasuah RM100,000 

Muhammad Faisal Hamzah diiringi pegawai SPRM ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang juga anak bekas menteri, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM100,000.

Tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah, yang juga anak kepada Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengaku tidak bersalah sejurus mendengar pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rozina Ayub.

Muhammad Faisal, 40, didakwa menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid yang didakwa sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.

Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat dekat Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur pada Mac 2018.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, mahkamah kemudian membenarkan Faisal dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, sehingga kes selesai, selain menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ravinder Singh Dhalliwal.

Pada April tahun lalu, Muhammad Faisal mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini