comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Anggota polis antara 4 lelaki didakwa rompak 2 warga bangladesh

 

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk seorang anggota polis antara yang didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki warga Bangladesh, dua minggu lepas.

Koperal Norizam Ambiah, 34, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan dia bersama seorang lagi yang masih bebas menyamun barangan kemas termasuk rantai dan gelang tangan bernilai RM264,000, wang tunai RM4,202, sebuah telefon bimbit, visa dan kad Touch N Go milik Arif Hossain serta barang kemas bernilai RM231,000 dan pelbagai barangan lain termasuk wang tunai RM3,600 dan enam telefon bimbit milik Shakel Ahmed.

Kejadian itu didakwa dilakukan di kaunter parkir kereta di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Munshi Abdullah di sini, pada 1.05 petang, 11 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jaminan, pihaknya mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Norizam memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya  menanggung keluarga.

Izralizam kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi, tiga lagi tertuduh iaitu Muhammad Kamaruzzaman Imran, 34, Muhamad Azam Ab Rahim, 33, dan Roshaizol Lajat, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut seksyen sama di lokasi, masa dan tarikh tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif menawarkan jaminan RM12,000 kepada setiap tertuduh manakala peguam Tharamjit Singh yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.

Nu’aman yang menetapkan sebutan kes pada 28 Jun depan, membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini