comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Anggota polis berdepan 24 pertuduhan rasuah

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berdepan 24 pertuduhan rasuah bernilai RM9,600 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Azlan Iswan, 35, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, anggota berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik didakwa melakukan kesalahan itu antara 3 Januari 2017 hingga 4 Disember 2018.

Tertuduh didakwa menerima wang RM400 daripada seorang penyelia sebuah syarikat melalui akaun simpanan milik tertuduh, melalui 24 transaksi di sebuah bank di Sungai Petani.

Dia didakwa dalam keadaan mengetahui syarikat terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya melibatkan penugasan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 2 April ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini