comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Anggota polis mengaku tidak bersalah minta dan terima rasuah RM1,450

 


KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat Koperal, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,450 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh, Muhamad Alif Abdul Jamal, 33 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Pertuduhan dibuat dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mengikut pertuduhan, pada 17 April dan 30 November 2021 di lokap Balai Polis Chuai, Kemaman, tertuduh telah meminta rasuah wang tunai RM1,000 dan RM450 daripada pengadu iaitu Jainah Mohamed Abdullah, sebagai balasan memberi kemudahan istimewa kepada tahanan lokap bernama Mohd Firdaus Mohd Zahid, atas kesalahan berkaitan dadah.

Juga bagi tujuan membenarkan penggunaan telefon bimbit dan membekalkan tembakau kepada tahanan lokap terbabit ketika dalam tahanan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu lapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebelum 7 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk pengurusan kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Masliela binti Ismail.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini