
MELAKA: Anggota tentera berpangkat Pegawai Waran didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap dua lelaki menggunakan objek tajam ketika cuba meleraikan satu pergaduhan, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Affizzu Che Aziz, 38, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas pertuduhan pada prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.
Tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Ajik Rasap, 37, dan Nasri Basar, 26, menggunakan objek tajam disyaki sebilah pisau belati di Blok C Pangsapuri Cheng Ria, dekat sini, pada jam 11.30 malam, 16 Oktober 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau penjara.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari dan Muhamad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM35,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam, Omar Zulkarnain bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh yang bertugas di Kem Sungai Udang serta menanggung dua isteri dan enam anak, tiga daripadanya masih kecil.
Katanya, jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh pada tarikh sebutan kes ditetapkan mahkamah dan jika ditetapkan terlalu tinggi ia seperti menjadi satu bentuk hukuman.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM18,000 berserta syarat tidak boleh menghubungi mangsa atau saksi pendakwaan serta melaporkan diri kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, sekali sebulan.