comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Asyraf Wajdi Saman Malaysiakini, Astro Awani RM25 Juta

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki telah menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta masing-masing kepada pihak Malaysiakini dan Astro AWANI.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau memaklumkan, surat tuduhan saman pemula itu dihantar melalui peguam Shahrul Hamidi & Haziq yang mewakili UMNO.

“Ramai yang bertanyakan status saman terhadap Malaysiakini dan Astro Awani yang mengeluarkan berita fitnah terhadap UMNO.

“Untuk pengetahuan, Peguam yang mewakili UMNO sudahpun menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta kepada pihak Malaysiakini dan RM25 juta lagi terhadap Astro Awani.

“InsyaAllah, jika ada mana-mana lagi pihak termasuk individu yang memfitnah UMNO dengan apa juga bentuk laporan, komentar atau berita palsu, saya dan Pemuda UMNO tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa.”

“Sudah tiba masanya UMNO untuk bersikap lantang dan lebih agresif kerana parti itu sudah lama bersikap ‘gentleman’,”ujarnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurutnya lagi, sudah sekian lama UMNO membiarkan sahaja fitnah berlegar sehingga mencetuskan persepsi negatif yang memudaratkan parti dan seluruh warga pendokongnya.

Antara tuntutan yang dibuat adalah supaya menghentikan tindakan menerbit atau mengeluarkan lagi kenyataan fitnah atau sebarang kenyataan serupa yang bertentangan dengan kliennya (UMNO).

Tuntutan itu juga mengesa menghapuskan posting dan/atau penerbitan dalam Portal Berita Dalam Talian tersebut terhadap UMNO dan Asyraf.

“Membuat permohonan maaf tanpa syarat secara bertulis dan menarik balik kata-kata tersebut kenyataan fitnah atau kenyataan serupa terhadap klien kami, atas syarat dipersetujui oleh kami bagi pihak klien kami.

“Dan menerbitkan artikel penarikan balik dan permohonan maaf tersebut dalam halaman dan saiz yang akan diluluskan oleh klien kami dalam sekurang-kurangnya dua akhbar nasional pilihan klien kami,” ujar pasukan pembelaan Asyraf.

Tindakan Asyraf mahu menyaman dua syarikat berita terbabit ialah atas dakwaan membuat laporan dengan memetik sumber tidak berasas, serta mencetuskan persepsi negatif terhadap partinya.

Loading...
Terkini