comscore
Tumpuan :
Mahkamah

 Azeez Rahim dilepas bebas kes rasuah, pengubahan wang haram

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Bekas Ahli Parlimen Baling itu pada 23 September lalu dilepas tanpa dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan notis usul dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad itu supaya anak guamnya dibebaskan terus daripada semua pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan notis usul Abdul Azeez.

“Oleh kerana tiada bantahan daripada pendakwaan, notis usul ini dibenarkan dan pemohon dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan,” kata hakim.

Sementara itu, Amer Hamzah berkata, pihaknya menerima surat daripasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 26 Oktober lalu yang menyatakan  siasatan agensi itu sudah selesai dan kesemua aset yang dirampas sudah dikembalikan.

Abdul Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama .

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dakwaan dikenakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta  sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Loading...
Terkini