comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Balasan rogol anak tiri, penganggur dipenjara 19 tahun, 20 sebatan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah / Zamri Ghani

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan kena 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh 30 tahun mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun di dalam tandas di sebuah rumah di Marang, jam 3 pagi pada Oktober 2021.

Tertuduh mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa di alamat sama jam 3 pagi pada Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen  376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim mengarahkan tertuduh dipenjara 11 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Hakim mengarahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan bermula daripada tarikh tangkapan, pada 12 November lalu.

Loading...
Terkini