KULIM: Seorang lelaki dari Teluk Air Tawar, Butterworth dijatuhkan hukuman denda RM9,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengganggu sensitiviti agama di sebuah masjid di Lunas, kira-kira jam 2 pagi pada 24 September lalu.
Tertuduh S Velan yang juga merupakan pemandu van, 43, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mirza Mohamad.
Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, Velan mengaku bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan dadah dengan memasukkan methamphetamine ke dalam badannya.
Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.20 pagi pada 24 September lalu di bahagian Siasatan Narkotik polis daerah Kulim.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan menjalani pengawasan sehingga tiga tahun.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jan 2024 untuk tarikh sebutan sementara menunggu laporan patologi.