comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Balu kematian suami dalam lokap, terima ganti rugi RM446,780

Foto hiasan

SEREMBAN: Balu seorang lelaki hari ini, berjaya dalam tuntutan ganti ruginya di Mahkamah Tinggi Seremban di sini, berhubung kematian suaminya ketika direman di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson, pada 2017.

Hakim Wan Fadhilah Wan Idris membenarkan tuntutan ganti rugi kepada M Vimala Devy dengan berjumlah keseluruhan RM446,780.

Wan Fadhilah berkata, mahkamah mengambil kira keterangan saksi pakar iaitu doktor yang melakukan bedah siasat ke atas M Segar bahawa kecederaan ke atas lelaki itu yang membawa kepada kematiannya berlaku ketika si mati berada di dalam tahanan pihak polis iaitu di lokap IPD Port Dickson sewaktu ditahan reman.

“Mahkamah berpandangan, pihak polis bertanggungjawab ke atas kematian si mati yang berlaku ketika si mati berada di dalam kawalan pihak polis.

“Dengan itu, mahkamah membenarkan tuntutan ganti rugi kepada balu plaintif (isteri yang sah si mati) M Vimala Devy berjumlah 446,780,” katanya.

Ia membabitkan ganti rugi kedukacitaan berjumlah RM63,000, ganti rugi kehilangan tanggungan RM3,780, ganti rugi perbelanjaan pengebumian RM30,000, ganti rugi Misfeasan pegawai RM150,000 dan ganti rugi teruk (aggravated) berjumlah RM200,000.

Mahkamah turut membenarkan tuntutan plaintif ke atas defendan dengan kos sebanyak RM20,000 serta kadar faedah lima peratus daripada 30 Mac 2020 sehingga tarikh bayaran.

Ketika kejadian, lelaki itu berumur 46 tahun dan bekerja sebagai pembantu gerai warung manakala Vimala Devy berumur 44 tahun dan tidak bekerja serta mempunyai seorang anak lelaki.

Plaintif diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala peguam, Shah Wira Abdul Halim mewakili Kerajaan Malaysia.

Media pada April 2017 melaporkan, seorang lelaki yang ditahan disyaki berkaitan kes penyalahgunaan dadah, ditemui mati dalam lokap IPD Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson ketika itu, Superintendan Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, pada kejadian jam 1.55 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam lokap.

Loading...
Terkini