comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bantahan Amzad berhubung petisyen pilihan raya ditolak

Foto hiasan.

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Amzad Hashim terhadap petisyen yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Petisyen pilihan raya tersebut difailkan oleh calon BN Datuk Mohd Zubir Embong.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu pada prosiding secara dalam talian selepas mempertimbangkan hujahan daripada kedua-dua pihak pada 30 Jan lepas dan juga hujahan bertulis.

Mahkamah menetapkan 20 hari untuk perbicaraan petisyen itu bermula 3 April.

Amzad diwakili barisan peguam Wan Rohimi Wan Daud, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal.

Mohd Zubir yang merupakan pempetisyen pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Amin Othman, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Haiyan.

Pada 3 Jan lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lepas, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lepas, Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang PAS apabila Amzad memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

— BERNAMA

Loading...
Terkini