comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa 5 anak menangis, mengaku baling kipas terkena isteri 

Foto hiasan

MELAKA: Prosiding kes seorang lelaki didakwa mencederakan isterinya kerana lewat menyediakan susu bayi bertukar pilu apabila tertuduh menangis teresak-esak di kandang pesalah di Mahkamah Majistret 3, Ayer Keroh, hari ini.

Ketika itu, Majistret Nabilah Nizam bertanya kepada Shahmoonzhir Mohd Nazim, 32, punca sebenar dia memukul isterinya.

“Saya ada satu soalan sahaja sebelum saya jatuhkan hukuman.“Apa punca awak pukul isteri, adakah hanya kerana dia tidak mahu buat susu dan baling botol susu?” soal Nabilah.

Shahmoonzhir kemudian menjelaskan dia marah apabila isteri enggan membuat susu dan membaling botol susu sedangkan dia yang kepenatan baru pulang bekerja sanggup menolong menjaga bayi mereka.

“Jadi, saya marah dia (isteri), tapi bukan nak pukul dia. Saya nak baling kipas ke arah almari tapi kena pada dia dan saya mengaku bersalah.

“Saya juga tiada ahli keluarga di sini kerana berasal dari Sabah dan isteri juga tidak hadir di mahkamah hari ini,” katanya sambil mengesat air mata di kandang pesalah.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri selesai mengemukakan fakta kes dan hujah pemberatan hukuman, manakala tertuduh yang juga bapa kepada lima anak dan diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, merayu hukuman ringan.

Prosiding kemudian ditangguhkan sebentar selepas dipohon Fiqri Hakim dan sebaik mahkamah bersidang semula peguam tertuduh memaklumkan pengadu ingin menarik balik laporan polis terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 23 November ini dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000.

Pada 6 Oktober lalu ketika dituduh kali pertama, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi melantik peguam dan serahan dokumen yang mana dia menukar pengakuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isteri, 30, di rumah mereka dekat Batu 6, Solok Balik Bukit, Bukit Lintang di sini, kira-kira 12 tengah malam, 1 Oktober lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini