MUAR: Seorang bapa dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya, minggu lalu.
Tertuduh berusia 43 tahun sempat mengemukakan rayuan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
“Saya amat menyesal. Saya harap mahkamah pertimbangkan hukuman kerana perlu tanggung keluarga…nak bayar sewa kedai lagi..anak pula lima orang,” rayu tertuduh yang juga peniaga kedai makan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kluang, pada jam 12.30 tengah malam, 1 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Hukuman bagi Seksyen 14 (a) ialah penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 16 (1) yang juga tambahan hukuman, penjara tidak melebihi lima tahun dan juga sebatan tidak kurang dua kali bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan fakta kes, semasa ujian pemeriksaan minda dijalankan di sekolah, seorang guru kaunseling mendapati mangsa seperti dalam keadaan terganggu.
Apabila guru bertanyakan pada mangsa, dia menceritakan kejadian sebenar menimpanya dan pihak sekolah menghubungi ibu pelajar terbabit memaklumkan perkara itu.
Satu laporan polis dibuat oleh ibu mangsa pada 3 Disember lalu dengan tertuduh ditahan pada jam 8 malam hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan bagi Seksyen 14 (a) manakala Seksyen 16, tiga tahun serta dua sebatan dengan kedua-dua hukuman ini dijalankan secara berasingan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani sesi kauseling sepanjang dipenjara serta pengawasan polis selama dua tahun selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.