comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa kasari guru kerana tangkap anak merokok didakwa di mahkamah

Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Bapa kepada pelajar sekolah menengah yang bertindak mengasari seorang guru kerana mengambil tindakan terhadap anakya yang merokok di kawasan sekolah, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.

Daniel Dean Wong Kok Ching, 49, didakwa atas dua pertuduhan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan secara sukarela.

Bagaimanapun, ejen hartanah itu mengaku tidak bersalah di hadapan majistret Stephanie Sherron Abbie.

Bagi pertuduhan pertama, Kok Ching didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang guru lelaki berusia 40 tahun di pekarangan gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu pada 29 Januari lalu, jam 9.30 pagi.

Foto: NSTP

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi guru lelaki berusia 40 tahun pada masa dan tempat sama.

Mahkamah menetapkan 7 Mac ini, untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah, Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli dan Rustam Sanip.

Kok Ching diwakili peguam Lim Chun Yuan dan Jo Anne Jameson.

Baru-baru ini, tular video tertuduh bertindak agresif terhadap guru berkenaan selepas menahan anak lelakinya yang merokok dalam tandas sekolah berkenaan.

Dalam satu lagi klip yang tular, pelajar itu dilihat bersemuka dengan guru berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pelajar Tingkatan Lima berkenaan masih dibenarkan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun sudah dibuang sekolah.

Hukuman bagi ugutan jenayah memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini